Thursday, April 30, 2009

SPR perlu berubah daripada membuat peraturan mengejut

Umur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkau 52 tahun dan genap pada 4 September ini. Seawal usianya tidak banyak karenah yang ditimbulkan bagi menyakiti pembangkang.

Banyak tulisan yang dibaca jarang mempertikaikan kewibawaan SPR mengendalikan pilihan raya pada masa lampau.

Tidak ditemui juga dalam tulisan penulis Haji Subky Abdul Latif mengkritik keburukan SPR masa lalu kecuali memuji badan tersebut bertindak sebagai orang tengah dalam mengendalikan pilihan raya di Malaysia yang serba kekurangan dan bersesuaian keadaannya pada masa itu.
Mungkin juga ketika itu pembangkang tidak kuat. Namun pernah berlaku insiden politik di Pantai Barat Semenanjung, berikutan kemenangan besar parti Gerakan di Pulau Pinang dan Selangor. Namun SPR tetap bersih seharum namanya.

Ketika berlaku perpecahan dalaman Umno pada 1987 sehingga wujud dua parti iaitu Umno Baru dan Parti Semangat 46 serta Kelantan tumbang kepada PAS. Pada pilihan raya umum 1999 pula mengubah keangkuhan Umno dan Terengganu jatuh kepada PAS serta banyak kerusi Parlimen dimenangi pembangkang. Bagaimanapun SPR masih selamat lagi daripada kritikan buruk.
Namun pada pilihan raya umum 2004 di mana arus rakyat kepada pembangkang sebaliknya dicemari oleh peranan SPR mewujudkan pengundi yang sudah tidak wujud. Daftar pemilih SPR yang boleh dipertikai kerana wujud pengundi hantu dan pengundi berganda.

SPR berperanan dibelakang dalam mengembalikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut. Dalam hal ini pembangkang tidak berdiam dan mengadakan demontrasi besar-besaran menuntut campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya sesuai namanya SPR dikembalikan kepada landasan yang betul sebagai pihak tengah.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengabung parti politik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demontrasi dan perarakan ke Istana Negara dari Masjid Negara pada 10 November 2007. Lebih 100 ribu orang berhimpun menyuarakan bantahan terhadap SPR yang tidak adil.

Terdapat empat perkara utama yang dituntut Bersih iaitu, pertama penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan.

Kedua, penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda.
Ketiga, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

Dan keempat, akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihan raya.
Malangnya, setakat ini, pihak SPR cuma bersetuju dengan satu permintaan iaitu penggunaan dakwat kekal.

Bagaimanapun dakwat kekal menjadi penipuan politik SPR secara tidak langsung menutup penyelewengan pengundian berganda. Bagi mengagalkan rancangan yang mula dipersetujui SPR itu maka dibuat tuduhan mengatakan terdapat dakwat yang dibawa masuk melalui Thailand untuk digunakan mengugut pengundi.

Sedangkan selepas pilihan raya umum 2008 polis memberitahu tidak ada laporan mengenai dakwaan tersebut. Jelas berupa penipuan terhadap pakatan rakyat.
Dengan alasan tersebut maka dakwat kekal pun tidak jadi digunakan sampai sekarang. SPR yang rancang mahu buat dia juga yang rancang tidak jadi.

Mainan politik SPR dan BN yang sudah masak cukup dikenali Pakatan Rakyat. Apa yang dituntut Pakatan Rakyat tidak ditunai sebaliknya dalam melakukan perubahan yang diinginkan BN ternyata SPR cepat bertindak.

Kalau SPR mengambil masa panjang untuk mengkaji tuntutan Bersih tetapi kenapa SPR boleh bertindak segera dalam perkara yang menguntungkan BN?

Apakah ini dinamakan keadilan? Sepatutnya SPR mengambil masa yang panjang dan melibatkan pihak ramai dalam memutuskan 'pondok panas' sama ada ditutup atau diteruskan.
Ini kerana rakyat mahukan keputusan yang diambil oleh SPR biarlah berwibawa bukannya ikut telunjuk BN atau bekerja untuk menguntungkan BN. - Sumber Harakahdaily.net

Tuesday, April 28, 2009

Dr Mansor Othman calon Pakatan Rakyat di Penanti


PERMATANG PAUH, 29 April (Hrkh)-Teka-teki siapa calon N12 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti sudah terjawab apabila bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Negeri Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat oleh Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Yayasan Aman, Penanti semalam.

Beliau di antara nama yang disebut-sebut sebelum ini untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggantikan Mohamad Fairus Khairudin yang meletakkan jawatan pada 19 Mac lepas.
Isu ini makin jelas apabila beliau dikatakan menolak jawatan Senator yang ingin diberikan kepadanya oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang semasa Persidangan Dun minggu lalu.
Anwar semasa berucap menegaskan, jika sekiranya beliau memenangi pilihan raya kecil Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei depan KeADILan akan mengemukakan namanya sebagai cadangan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk mengisi jawatan nombor dua yang ditinggalkan oleh Mohamad Fairus yang berhenti ekoran hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, menumpukan pada keluarga serta membersihkan namanya daripada tohmahan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.

Bagi Dr Mansor pula dalam kenyataan pertamanya pada media beliau akan melaksanakan tugasnya dengan baik, turun padang dan mampu menang di Penanti.
Walaupun beliau bukan 'orang Penanti' namun beliau yakin menang hasil sokongan parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

"Saya ucap terima kasih pada Dato' Seri Anwar kerana memilih saya sebagai calon untuk bertanding di Penanti. Insya-Allah apa yang diamanahkan kepadanya nanti cuba dicurahkan kepada rakyat Penanti dan Permatang Pauh amnya, " jelas beliau.

Antara kepimpinan KeADILan yang hadir memberikan sokongan moral terhadap calon Pakatan Rakyat ialah Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali; Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Penolong Setiausaha DAP Pusat, Choong Eng; Ketua Perhubungan KeADIlan Negeri, Dato' Zahrin Hashim dan lain-lain kepimpinan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat. - Sumber Harakahdaily.net

Monday, April 27, 2009

Kepimpinan ulama sentiasa terbuka, pastikan PAS mantap - Haron Din




KUALA LUMPUR, 28 April (Hrkh) - "Kepimpinan Ulama hanyalah satu arah tuju yang dilihat sebagai pengemudi parti. Ulama laksana juruterbang yang membawa kapal terbang atau nahkoda bagi sebuah kapal. Namun itu bukan kerja dia seorang tetapi beserta kakitangannya. Hal ehwal penumpang, kebajikan, keselamatan diuruskan oleh yang bukan 'pilot'. Kesinambungan itu yang membuatkan sesuatu perjalanan menjadi lancar."

Demikian antara petikan kata Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr Haron Din ketika diminta memberi pandangan berhubung kepimpinan ulama dalam PAS yang telah pun menjangkau 25 tahun sejak mula diperkenalkan sewaktu Muktamar PAS pada tahun 1983.
Kata Haron Din walaupun kepimpinan ulama baru melintasi suku abad, namun pelbagai kejayaan telah dikecapi silih berganti menandakan keberkesanan ulama memimpin PAS menjadikannya sebuah parti yang dihormati, disegani dan semakin mendapat sokongan sekaligus memikat hati rakyat.

Tanpa kecuali beliau menyatakan peri pentingnya gabung-jalin antara ulama dengan golongan profesional dalam PAS demi memastikan hala tuju parti tercapai seterusnya memantapkan kecemerlangan perjuangan Islam sepanjang masa.

"Dalam PAS itu masing-masing ada kelebihannya dan saling tampung-menampung. Oleh itu kelangsungan kepimpinan ulama mestilah diteruskan. Gandingan dengan tenaga profesional harus terus dimantapkan.

"Untuk berdepan dan menyaingi mereka (parti lawan), kita perlukan bukan sahaja ulama tetapi juga tenaga dan buah fikiran golongan profesional untuk memantapkan parti dan bergerak memastikan kejayaan perjuangan Islam ini," katanya dalam temubual eksklusif Harakah di kediaman semalam.

Sementara itu, ditanya berhubung salah faham, kelemahan dan kritikan terhadap kedua-dua golongan ini di dalam PAS, beliau menjelaskan isu itu sewajarnya diperbaiki sebaiknya dan bukan untuk diperbesarkan
"Begitu juga dengan hal peperangan, Nabi Muhammad s.a.w sentiasa menerima pandangan daripada sahabat yang arif berperang. Itu bukan kesilapan tetapi petunjuk ringkas daripada Rasullulah bahawa pemimpin boleh ditegur, dibantu dan diberi pandangan.

"Begitu juga dalam PAS. Kelemahan kepimpinan ulama bukan untuk diperbesarkan tetapi diperbetulkan. Kita kena ingat, semua orang mempunyai kelemahan dan sewajarnya ditampung bersama. Adakah dengan menukar kepimpinan maka kelemahan dan kesilapan tidak akan wujud sama sekali?" kata Haron Din lagi.

Beliau menasihati pihak media, blog dan internet sepatutnya berlaku adil kepada kepimpinan ulama jika berlaku kelemahan ataupun salah faham dengan membuat pertemuan dan mengadakan perbincangan sebelum membuat sebarang ulasan ataupun kesimpulan.
"Saya lihat keterbukaan kepimpinan ulama tidak mempunyai sebarang halangan untuk bersua dan mendapatkan penjelasan. Mereka sedia bertemu dan berbincang demi untuk kukuhkan parti sekaligus memantapkan perjuangan Islam yang menjadi dasar dan teras PAS selama ini," katanya. - Sumber Harakahdaily.net

Inikah punca SPR menghadkan jumlah Penyokong? Sungguh tidak demokratik..!!

video

Sunday, April 26, 2009

PKPIM desak tarik balik keputusan kabinet

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak kabinet menarik balik keputusannya yang menyatakan bahawa status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.Dalam satu kenyataaan hari, Naib Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, PKPIM mengkritik sekeras-kerasnya keputusan kabinet itu.Kabinet membuat keputusan itu pada 23 April lalu sebagai langkah untuk menyelesaikan pertikaian antara Mohd Ridzuan yang dilaporkan baru memeluk agama Islam dan isterinya Indra Ghandhi berhubung status agama tiga anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.Muhammad Faisal berkata, keputusan jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga dianggap tidak tepat kerana ia dibuat dengan cara tergesa-gesa tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti mufti. "Memandangkan isu ini amat berkait rapat dengan persoalan perundangan Islam, seharusnya pihak kabinet membuat penelitian dengan lebih mendalam dengan mengambil kira pandangan mereka yang pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan. "Justeru, PKPIM berpandangan tindakan kabinet yang membuat ketetapan tersebut tanpa sebarang rujukan kepada tokoh ulamak adalah sesuatu yang amat mengecewakan," tegas Muhammad Faisal. PKPIM juga,katanya, melihat tindakan kabinet itu amat bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa antara pihak mahkamah dan eksekutif. 'Campuri bidang kehakiman'"Ini kerana tindakan tersebut secara jelas telah menggambarkan usaha dari pihak eksekutif untuk campur tangan dalam perkara yang melibatkan bidang kuasa kehakiman, sedangkan pihak kehakiman sepatutnya bebas dalam mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh apa yang diputuskan kerajaan."Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu."Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga. "Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan," kata Muhammad Faisal. Oleh itu, katanya, PKPIM mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kabinet yang "membuat keputusan secara tidak berhemah dan tergopoh-gapah memandangkan kes itu masih dibicara melalui proses mahkamah di Mahkamah Tinggi Syariah Perak".Sehubungan itu, katanya, PKPIM turut mendesak kabinet menarik balik keputuan yang telah ditetapkan demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan keutuhan kuasa pihak mahkamah.-Sumber malaysiakini.com

Pilihan Raya Kecil Penanti 31 Mei


KUALA LUMPUR, 27 April (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.


Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh keluar writ ditetapkan pada hari ini manakala tarikh notis dikeluarkan pada Khamis ini.


"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 17 April berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya N.12 Penanti berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin melalui suratnya bertarikh 19 Mac 2009.


"Sehubungan ini, setelah meneliti pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta salinan surat peletakan jawatan oleh ADUN berkenaan yang dilampirkan bersama pemakluman tersebut maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN N.12 Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu," katanya pada sidang akhbar yang dipetik Bernama di sini hari ini.


Mohammad Fairus, 33, daripada KeADILan mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.


Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.


Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.


Pada pilihan raya umum tahun lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.


Abdul Aziz berkata Daftar Pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemaskini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, katanya 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.


Beliau berkata SPR mensasarkan kira-kira 80 peratus jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada hari tersebut memandangkan hari mengundi adalah hari Ahad, di mana sebanyak 82.1 peratus pengundi keluar mengundi untuk kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.


Katanya SPR akan menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi manakala bagi urusan pengundian pos, proses pengeluaran dan pengiraan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah. - Sumber Harakahdaily.Net

Kata Aluan dari Setiausaha Cawangan Seri Azam

Assalamualaikum!

Bismillahirahmannirahim

Kepada semua Rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi supaya subur di Malaysia, Maka pada hari ini 27hb. April,2009 bersamaan 2hb,Jamadilawal 1430,Pas Cawangan Seri Azam Jalan Pahang, Tapah, Perak dengan rasminya melancarkan blog rasminya untuk kita sama-sama mendapat maklumat yang tepat dan adil khususnya mengenai aktiviti dan juga program Parti Islam Semalaysia (PAS). InsyaAllah dengan terlancarnya blog ini kita sebagai rakyat Malaysia sama-sama dapat menilai baik dan buruknya apajua maklumat yang dipaparkan menerusi blog ini untuk kita sama-sama membangunkan Malaysia.Sekian wassalam.

Tazkirah Tuan guru Nik Abdul aziz

Lagu tema Pas

Tragedi 07hb.Mei,2009