Friday, June 26, 2009

Peniaga diisytiharkan calon PAS di Manek Urai




KUALA KRAI, 27 Jun (Hrkh) - Seorang peniaga, Haji Mohd Fauzi Abdullah, 50 diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai malam tadi.Pengisytiharan itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah di Kampung Manek Urai Lama, yang sendat dengan ribuan manusia.
Hadir sama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Kawasan padang bola Manek Urai Lama sesak sejak petang lagi apabila penduduk tempatan dan petugas parti bertali arus menuju ke tempat ceramah.
Ketika diumumkan nama calon tersebut, suara takbir sambut menyambut mengiringi pengisytiharan tersebut. Kelihatan ramai yang setuju dengan ketokohan yang ditampilkan.
Biarpun Mohd Fauzi tinggal di Guchil, namun mempunyai keluarga yang ramai di Dun Manek Urai.
Kakak sulungnya, Mariam isteri kepada seorang pesara polis kini tinggal di Kampung Laloh.
Keluarganya berasal dari Bukit Marak berhijrah ke Kuala Krai ketika beliau berusia lima tahun.
Beliau merupakan anak keenam daripada lapan adik beradik. Empat daripadanya mendapat pendidikan tinggi sehingga ke luar negara.
Seorang lagi kakaknya, Prof Dr Aminah pensyarah kanan di UKM; ketiga, Ibrahim seorang peniaga buah-buahan; keempat, Sabariah ketua jururawat di Hospital Temerloh.
Kelima, Mohd Yazid, pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya. Manakala dua adiknya iaitu Razali memiliki syarikat perunding di Pulau Pinang dan adik bongsu, Zaidi lepasan bidang IT di universiti, Australia.
Mohd Fauzi mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan Aminah Mahmood.
Terbabit dengan PAS sejak muda lagi. Beliau juga Ketua Cawangan PAS di Bandar Kuala Krai, Pengarah MTD Guchil dan bekas Penyelia Dun Guchil.
Beliau juga anggota jawatankuasa PIBG Maahad Rahmaniah, Kuala Krai. Kelibatnya tidak jauh berbeza dengan Allahyarham Haji Ismail Yaacob kerana pergaulan yang luas.
Orang ramai mudah menemuinya di kedai-kedai kopi. Hampir kesemua penduduk di sembilan peti di Manek Urai mengenalinya.
Biar pun kenderaan disekat melintasi jambatan merentangi Sungai Lebir menghala ke Manek Urai Lama mulai jam 7 petang semalam, namun banyak kenderaan masih lagi tersangkut untuk keluar ke jalan besar jam 1 pagi. - Harakahdaily.net

Mufti Perak kurang terdedah sejarah politik Islam - Nik Aziz


KOTA BHARU, 25 Jun (Hrkh) - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dianggap tidak terdedah dengan sejarah politik Islam sehingga menganggap PAS sebagai punca perbalahan orang Melayu di negara ini.
"Kalau betullah PAS menjadi punca balah, maka Nabi Muhammad saw juga menjadi punca masyarakat Arab ketika itu berbalah.
"Ini kerana PAS meniru apa yang dilakukan Nabi Muhammad saw. Apakah Nabi Muhammad saw menjadi punca belah. Sedangkan apa yang berlaku punca pecah belah datang daripada orang yang lawan Islam," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mursyidul Am PAS itu bertanya sekarang siapa punca berpecah belah, parti Islam atau parti kebangsaan yang berteraskan sekular.
Menurutnya, orang Islam kena tengok semula sejarah, adakah Nabi Muhammad saw menjadi punca perbalahan masyarakat ketika itu atau orang yang melawan ajaran dibawanya.
"Kalaulah Nabi Muhammad saw menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah.
"Sedangkan baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah," katanya di sini.
Sebuah akhbar hari ini menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, PAS ditubuh di Pulau Pinang oleh alim ulama yang asal berada dalam Umno.
Namun katanya mereka keluar daripada Umno dan menubuh sebuah parti Islam pada 1951.
Beliau juga berkata, Umno ialah United Malay National Organization yang memperlihatkan parti itu berjuang berteraskan kaum.
"Jadi mengapa dia sibuk dengan kita, sedangkan dia parti Melayu. Pelawalah orang Melayu seramai yang boleh kerana mereka parti orang Melayu.
"Tetapi sekarang mengapa pula orang Melayu sudah ramai yang lari daripada Umno. Orang Melayu sudah lari kepada PAS, KeADILan dan DAP," tambahnya.
Menurutnya juga Umno selama ini secara jelas menyebut agama lain dan politik lain dalam perjuangan mereka.
Sedangkan beliau berkata, Islam meminta manusia berpadu sama ada dengan orang Melayu, Cina dan India.
"Kalau perpaduan sebenar biarlah semua kaum dalam BN dan Pakatan Rakyat berpadu," katanya.
Oleh itu beliau meminta supaya mufti terbabit supaya lebih baik menggunakan masa yang berharga untuk mempengaruhi Umno supaya tukar dasar kebangsaan kepada Islam.
"Berapa sen harga kaum Melayu atau bangsa Arab di Padang Mahsyar kelak. Dalam keadaan PAS masuk Perikatan dahulu lalu dengan dijemput pun PAS ditendang keluar.
"Inikan pula kita yang cuba sorong-sorong kepala. Sebab itu saya tengok sehari dua ini Umno macam orang gila talak pula," katanya.
Sebelum ini ketika mengadakan pertemuan dengan warga pendidik di Kuala Krai, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut perpaduan hanya diminati antara PAS dan Umno sahaja dan bukan melibatkan parti lain. - Harakahdaily.net

Friday, June 19, 2009

Ceramah umum di Tapah


Ceramah 1

Tarikh : 24hb.Jun,2009

Tempat : Markaz Pas Batu 3, Temoh

Masa : 09.00 Malam

Penceramah :

  1. YB Dato'Hj.Mahfuz Hj.Omar - Naib Presiden Pas
  2. YB Sivakumar - Speaker DUN Perak
  3. Sdr Amran Harun - Pembantu DS Nizar (MB Perak)

Ceramah 2

Tarikh : 25hb.Jun,2009

Tempat : Rumah En.Md Nizar Ismail, Lot 507, Jlan Besar Tapah Road

Masa : 09.00 Malam


Penceramah :

  1. YAB DS Mohd Nizar Jamaluddin- MB Pakatan Rakyat
  2. Sdr Appalasamy
  3. Sdr Richard Wong


MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR!!!

Wednesday, June 17, 2009

Panas! Kerajaan perpaduan: Nik Aziz mahu Timbalan Presiden keluar PAS?



KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Anggota Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.
"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas pakatan pembangkang.
"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Katanya cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang.
Nik Abdul Aziz mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata beliau mengamalkan sikap terbuka dan sedia mendengar serta menimbang apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh PAS.
Sebagai reaksi, Nasharuddin berkata PAS berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan kerana parti itu melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.
Nik Abdul Aziz berkata beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS di Kelantan telah menerimanya sebagai calon untuk bertanding di Bachok pada pilihan raya umum 2008.
Katanya PAS dan pakatan pembangkang kini telah masuk perangkap Umno berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.
"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan pakatan pembangkang sedang berpecah," katanya.
Beliau juga berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada pakatan pembangkang untuk jawatan menteri.
"Kalau semua setuju...PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya.
Nik Abdul Aziz juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia berhubung satu laporan pada 15 Jun lepas yang memetik beliau sebagai berkata bahawa "nasihatnya mesti didengar".
"Saya nafi sekeras-kerasnya penggunaan "mesti". Semuanya itu selain daripada pembohongan adalah hasutan untuk menghina saya, supaya masyarakat dan mufti benci kepada saya.
"Saya sangat dukacita dan malu sampai dikerah mufti untuk membincangkan kenyataan saya," katanya.
Nik Aziz berkata beliau telah melantik peguam untuk mengambil tindakan itu. BERNAMA

KOMPLEKS TARBIAH PAS TAPAH MASIH LAGI MEMERLUKAN SUMBANGAN

Kompleks Tarbiah Pas Kawasan Tapah masih lagi memerlukan sumbangan dari orangramai bagi melengkapkan kompleks tersebut. Menurut ketua lajnah pembangunan dan Pengurusan Harta Pas Kawasan Dr Hj. Ahmad Tajuddin Hj Mansur setakat ini hanya bangunan fasa 1 hampir siap. Kompleks yang menelan belanja RM500,000.00 masih lagi memerlukan sumbangan orangramai kerana setakat ini perbelanjaan fasa 1 telah menelan belanja sebanyak RM80,000.00 dan memerlukan lebih RM400,000.00 bagi menyiapkan fasa 2 dan 3. Sehubungan dengan itu beliau bersama ajk lajnah yang baru akan berusaha mendapatkan sumbangan orangramai melalui kutipan tabung pembangunan kompleks tarbiah tersebut.

Beliau juga memberitahu selain kutipan melalui sijil wakaf dan derma. Pihak Pas Tapah merancang mengadakan siri ceramah bulanan untuk mengutip sumbangan dari orang ramai. Sebagai permulaan satu siri ceramah oleh YB Dato' Mahfuz Omar iaitu Naib Presiden Pas yang baru akan mengisi slot ceramah pada 24hb.Jun,2009 di Markaz Pas Batu 3 Temoh. Orangramai khususnya penduduk tempatan dijemput hadir beramai-ramai kemajlis tersebut.
Terlebih dahulu beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai khususnya ahli-ahli pas yang telah memberi sumbangan ketabung kompleks sehingga terdirinya bangunan fasa 1. Beliau mengalu-alukan kepada orang ramai yang ingin membuat sumbangan wang, bolehlah membuat sumbangan terus ketabung pembangunan di nombor akaun 0813-00643665-26(CIMB) atau menghubungi beliau di talian 019-4202078.

Tuesday, June 16, 2009

Demo anti-ISA dilancar di Parlimen esok


Kempen terbaru untuk menuntut kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dilancarkan di lobi Parlimen tengah hari esok, kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan.Kempen itu bersempena usaha menganjurkan demonstrasi besar menentang akta tersebut yang digelar 'Himpunan Mahsuhkan ISA' yang dijadual 1 Ogos ini di Kuala Lumpur. "Pemuda PAS akan menjadi antara penggerak utama di samping rakan-rakan NGO yang lain. Kempen ini akan digerakkan ke seluruh negara," katanya di sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.Demontrasi tersebut, antaranya untuk menyambut ulang tahun ke-49 pelaksanaan akta tersebut, telah dua kali ditunda - bulan Mac dan Jun.Dalam sidang media itu, Nasrudin turut mengumumkan barisan exco dan jawantankuasa Pemuda yang dilantik bagi memimpin dewan tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.Pelantikan tersebut dibuat dalam mesyuarat pertama dewan tersebut selama lebih empat jam malam tadi, katanya. Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dilantik setiausaha dewan yang baru, menggantikan Ahmad Sabki Yusof yang kini sebagai naib ketua Dewan Pemuda.Manakala Ketua Pemuda Johor dan juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil dilantik sebagai penolong Kamaruzaman.Bendahari diserahkan kepada Mohd Adram Musa, menggantikan Mohd Zaki Ibrahim yang dicalonkan mencabar Nasrudin tetapi menarik diri di saat-saat akhir.Suhaizan Kaiat, juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda, dikekalkan sebagai ketua penerangan. Pemuda PAS turut melantik ahli parlimen Jerai dan ahli jawatankuasa dewan tersebut, Mohd Firdaus Jaafar sebagai pengarah pilihanraya Pemuda PAS.Terdapat sepuluh ahli jawatankuasa baru yang dilantik: Zuraidin Abdullah (Kelantan), Sanusi Mohd Nor (Kedah), Zamakhshari Muhammad (Kelantan), Anuar Ali (Sabah), Yusainee Yahaya (Perlis), Mohd Sani Hamzan (Selangor), Wan Sukhairi Abdullah (Terengganu), Dr Zuhdi Marsuki (Wilayah Persekutuan), Mohd Nazri Din (Perak) dan Mohd Fuad Othman (Negeri Sembilan).Nasrudin berkata Dewan Pemuda memutuskan untuk membentuk biro-biro tertentu selepas bengkel hala tuju dewan tersebut yang dijadualkan hujung bulan ini.Ditanya mengenai persiapan Pemuda PAS menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini, Nasrudin berkata, dewan tersebut bersama Pemuda Pakatan Rakyat akan melancarkan jenteranya pada 19 Jun ini." Kita mahu mempastikan momentum sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat kekal untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13."Kita akan mengurus kebajikan pengundi dan ia menjadi agenda utama parti. Kita juga cuba memahamkan pengundi berhubung situasi politik tanah air," katanya-Sumber malaysiakini.com

Thursday, June 11, 2009

UST ABU BAKAR HUSEIN PJ PERAK YANG BARU


Presiden PAS telah melantik Ust Abu Bakar Husein sebagai Pesuruhjaya PAS yang baru bagi sessi 2009-2011. Perlantikan ini dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang pertama hari ini jam 10.00 pagi di Pejabat Agung PAS Pusat.Sebelum ini, Ust Abu Bakar Husein adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai YDP PAS Kawasan gopeng untuk beberapa penggal yang lalu. Dalam Pilihanraya umum yang lepas, beliau bertanding di DUN Pengkalan Baru dan hanya kalah dengan majoriti yang begitu kecil iaitu 14 undi. Beliau juga adalah pesara guru agama yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh. Perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Perak disambut baik oleh kawasan-kawasan dan dewan-dewan. Dengan pengalaman sebagai pendidik agama, seluruh PAS Kawasan di Perak mengharapkan agar pengalaman mentarbiyyah di gunakan untuk mentarbiyyah ahli-ahli PAS. Beliau sememangnya sangat meminati bidang tarbiyyah haraki. Markaz Tarbiyyah Air Kuning sentiasa aktif dengan program-program Tarbiyyah yang dikendalikan oleh Lajnah yang dipengerusikan oleh beliau. Pengisian tarbiyyah begitu hidup sepanjang beliau menerajui lajnah tersebut. Pembentangan kertas-kertas tarbiyyah tidak hanya terikat dengan teks tertentu, malahan persoalan ekonomi, politik, ISA dan berbagai-bagai isu semasa di peringkat nasional dan antarabangsa turut diketengahkan. Pimpinan PAS silih berganti menyampaikan pengisian dengan tajuk-tajuk yang mencakupi semua aspek.Tahniah Ustaz Abu Bakar Husein, ustaz tidak akan bersendirian memimpin negeri Perak, seluruh PAS Kawasan dan dewan-dewan akan membantu ustaz bagi melaksanakan amanat dan mandat ini.-Sumber dari Misbahul Munir.blogspot,com

Tuesday, June 9, 2009

Extragreat Fiesta anjuran siapa?

Nampak gayanya selepas berjaya "merompak" kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, pelbagai kegiatan berunsur maksiat cuba diterapkan oleh UMNO Barisan Nasional. Terbaru "Extragreat Fiesta" di Tapah yang berkonsepkan hiburan semata-mata dimana persembahan kebudayaannya memasukkan unsur-unsur maksiat seperti goyang Inul dan Malaysia Top Model. Kalau dulu Stadium mini ini digunakan untuk ceramah agama dan politik kini UMNO dan Barisan Nasional mempelbagaikannya dengan aktiviti-aktiviti maksiat. Wajarkah kita membawa anak-anak ketempat seperti ini?

Monday, June 8, 2009

Gambar-gambar Muktamar Pas Ke 55
















Tuan Guru Nik Aziz tegur perwakilan

Mursidul Am Pas Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur para perwakilan pada Ceramah perdana sempena muktamar pada hari Sabtu yang lalu. Kata Dato' Nik Aziz para perwakilan gagal menyelami ucapan dasar Dato' Seri Presiden apabila berbahas. Mereka seolah-olah berkempen ketika berpidato. Ini menyebabkan mesej yang disampaikan oleh Dato' Seri Presiden gagal dipahami ahli-ahli Pas. Beliau berpendapat perwakilan yang hadir salah masuk tempat untuk berbahas. Turut berceramah pada malam tersebut ialah wakil dari Hamas Sheikh Marwan dan menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Muktamar tamat dengan saf pinpinan baru



Muktamar ke 55 Pas pusat berjaya melabuhkan tirainya pada hari Ahad kelmarin dengan saf kepinpinan yang baru dimana Yb Tuan Guru Dato'Seri Hj.Abdul Hadi Awang dan Yb Ust.Nasharuddin Mat Isa mengekalkan jawatan masing-masing disamping tiga orang naib presiden yang baru iaitu Yb Salahuddin Ayub, Yb Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Yb Dato' Mahfuz Omar. Diharap dengan saf kepeminpinan yang baru ini, Parti Pas akan bergerak terus maju sebagai parti yang releven dibumi Malaysia ini. Diharapkan tuan guru Presiden dapat menjanakan saf kepinpinan baru demi menghadapi PRU yang ke-13 nanti. Moga " Government in waiting" yang di war-warkan oleh Pejuang Bahasa Pak Samad akan menjadi realiti pada 2011 nanti. InsyaAllah...

Friday, June 5, 2009

Dari Seri Azam ke Tapah....... makalah 1

Perjuangan kita masih lagi belum selesai. Kita tidak berjuang untuk menegakkan sebuah negara Islam....., kerana dunia sudah tahu bahawa Malaysia negara yang tercinta ini merupakan sebuah negara Islam. Tunku Abd.Rahman Putra al-Haj Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah menjelajah ke seluruh pelusuk dunia mencanangkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Ditokok pula dengan setiap tahun diadakan Musabaqah Tilawah Al-Quran sehingga ke hari ini samada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Malaysia sebuah negara Islam terus dicanang sehingga Perdana Menteri Kelima Tun Abdullah bin Ahmad Badwi membawa pendekatan baru melalui Islam Hadhari. Kini Perdana Menteri Ke enam DS Najib Tun Abd.Razak cuba mengkaji dan menilai semula pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Pak Lah. Itulah yang diperjuangkan oleh UMNO untuk mengkaburi orang-orang Melayu. Di era Dr.Mahathir dengan "Penerapan Nilai-nilai Islam" manakala di era Pak Lah "Islam Hadhari".

Berbeza dengan perjuangan PAS yang amat ikhlas di dalam memertabatkan Islam, memperjuangkan bangsa melayu tanpa menafikan hak bangsa-bangsa asing . Tidak tercatit di dalam Perlembagaan PAS mengatakan bahawa tujuan atau matlamat PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam sekiranya memerintah negara. Inilah kebijaksanaan jurutera PAS Ust.Hassan Syukri yang merangka Perlembagaan PAS kerana beliau sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Tapi yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal 5 menyatakan dua matlamat sahaja. Pertama - " memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah". Kedua - "Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara". PAS menyedari bahawa apa yang perlu diperjuangkan ialah mempraktikkan nilai-nilai hidup Islam dan melaksanakan hukum-hukum Allah. Jadi buat apa jika PAS memerintah nak tubuh lagi sebuah negara Islam kerana negara ini telah dikenali sebagai sebuah negara Islam........... bersambung

Thursday, June 4, 2009

Ucaptama Ketua Pemuda telah diterima selepas dibahaskan

Dewan Pemuda PAS telah memasuki fasa perbahasan usul setelah ucaptama Ketua Pemuda telah diterima sebulat suara oleh para perwakilan. Perbahasan ucaptama bermula jam 1.30 petang tadi dan berakhir kira-kira jam 9.30 malam sebentar tadi.

14 orang perwakilan daripada setiap negeri berbahas dengan penuh bersemangat dan berinformasi. Walaupun agak panas apabila beberapa isu berbangkit tetapi timbul kekecohan seperti yang digambarkan oleh media luar sebelum ini

Perwakilan dari selangor Ust Zulkifli Ahmad menutup perbahasan, sebagai pembahas terakhir- Sumber-Tranungkite.net

Wednesday, June 3, 2009

PAS tidak akan bersama Umno, tegas Ustaz Nasharudin


KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menegaskan kepimpinan PAS menolak dakwaan bahawa PAS akan bersama Umno. Sebaliknya beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai satu spekulasi pihak tertentu sahaja.
Demikian kata Nasharudin ketika menjawab soalan bertalu wartawan ketika mengadakan didang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS ke-50 di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar malam tadi.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Timbalannya, Ustaz Nasharudin Hassan Tantawi dan Setiausaha Pemuda, Ahmad Sabky Yusof.
Nasharudin juga menangkis dakwaan apabila diajukan soalan bahawa apa yang disebut dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda PAS mengenai penafian PAS akan bekerjasama dengan Umno sebagai satu strategi 'self defence' tatkala kerusinya dicabar beberapa calon Timbalan Presiden.
Sebaliknya beliau menyatakan ia adalah keputusan setakat ini bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno, sebaliknya memainkan peranan dalam Pakatan Rakyat.
Beliau juga menyentuh apa yang disebut dalam ucapan perasmian mengenai persoalan melihat Umno/BN bukan pada kelemahan tetapi kelebihan.
Katanya, kenyataan itu sebenarnya menjurus ke arah agar ahli dan seluruh kepimpinan PAS sedar akan perlunya usaha meningkatkan prestasi bagi mengatasi kelebihan yang ada pada parti lawan.
Sementara itu, bercakap mengenai isu cadangan mengangkat Kelab penyokong PAS kepada Dewan, beliau menyatakan perkara itu masih dalam kajian lagi.
Ujar Nasharudin, PAS kini mula menerima sokongan yang cukup hebat dari kalangan pengundi bukan Islam hingga ada cadangan mahu menjadikan KPP sebagai sayap parti.
Namun, pelbagai langkah perlu diambil dan diteliti sebaiknya antaranya berhubung perlembagaan parti yang pastinya perlu disemak semula seandainya cadangan ini mahu dilaksanakan, katanya.
Setakat ini cadangan itu masih di peringkat pengkajian teknikal yang belum dibentang lagi hasil kajiannya untuk diperhalusi pula oleh Jawatankuasa PAS Pusat, katanya lagi.
Bercakap isu yang sama, Ketua Pemuda PAS pula melihat perkembangan sokongan bukan Islam kepada PAS sangat tinggi.
Ujar Salahuddin, ia membuatkan Umno/BN hari ini bimbang dan hal ini pastinya salah satu 'formula' yang akan menguburkan Umno/BN nanti.
Salahuddin turut menyatakan sekali lagi bahawa beliau tidak lagi akan menerajui Pemuda PAS, namun tetap berharap generasi pewaris akan memperkukuhkan sayap penting parti ini bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. - Sumber Harakahdaily.net

Tuesday, June 2, 2009

Muktamar ke 55 - Persediaan PAS untuk menggantikan Umno

Sesungguhnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sedang berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya.Natijah dari pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinan memposisi kepentingan perjuangan, PAS kini berada sekali lagi di kedudukan penting yang sekaligus menuntut parti Islam ini terus membuat beberapa pilihan strategik.
Paling kritikal, atas pilihan strategik ini pula akan ditentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, samada untuk terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik seumpama yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004 yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.
Maka di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini.
Umum bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan 'Risalah Perjuangan Parti Politik Islam' ini, dalam persaingan mendominasi kuasa abad 21 Masihi-15 Hijrah.
Khususnya di persada pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, di segi pertentangan pelbagai tuntutan agama, etnik dan budaya yang bersifat 60:40 Islam:Bukan-Islamnya. Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini, bagi menyambung penulisan lalu "Meniti Tuntutan Perjuangan Pasca Muktamar ke-55".
Penulis ingin pertama-tamanya merakamkan perasaan terkilannya, bahawa polemik kepimpinan Ulama-Profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan.
Yang lebih penting dari kesemua itu sewajarnya ialah menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih.
Dengan kejelasan itu, akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi ke keluk yang seterusnya.
Maka membicarakan pilihan strategik di ketika ini adalah satu yang 'dhoruri' dan paling tidaknya sangat dihajatkan parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan.
Menggantikan kepimpinan Umno bagi kelompok Islam-Melayu
Seperti yang ditegaskan kepimpinan tertinggi parti umpama Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di Negara ini.
Meski pun telah acap disebut termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada satu kejelasan strategi yang pernah dilakarkan kearah itu.
Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu. Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti Bukan-Melayu, di mana 18 adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah Bukan-Melayu.
Jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah 165. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam.
Penulis, seorang optimis tegar seperti didakwanya, yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan.
Telahan para 'pundit' politik meramalkan Umno tidak akan dapat memugarkan atau 'reengineer' kembali perjuangan sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu.
Menarik tesis tersebut. Tidak mustahil kerana kemenangan disilih gantikan Allah SWT. (al-ayat) .
Pun begitu, di segi perhitungan politiknya PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding dalam 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi.
Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung. Sebutan mengambil alih kedudukan Umno sebagai parti pilihan orang Islam-Melayu wajar menyedari tuntutan realitinya.
PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam 'Malay Belt' atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur.
PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40 bahkan lebih �mixed� dari itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya.
Persoalan buat kepimpinan kini ialah: Apakah yang perlu dilakukan kepimpinan parti untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini?
Bersama menggandingkan kekuatan menjatuhkan Umno-BN
Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbang kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa.
Lanjutnya kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat mengecapi kesejahteraan hidup sebenar sesuai dengan kedudukan negara yang memilikki sumber per kapita antara tertinggi di dunia kerana pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, kerakusan dan mementing diri.
Amalan demokrasi rosak sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa Eksekutif.
Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai 'mercu tanda' pengurusan sarat rasuah Umno-BN.
Umno-BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara.
Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan ummat Islam khususnya dari kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
PAS bergandingan dengan komponen parti Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, berupaya melakukan sesuatu yang ajaib dan bijak dalam Politik Permuafakatan atau Tahaluf Siyasi (Coalition Politics).
Sindrom takut kalah Umno, takut menang PAS
Di persimpangan 'Politik Transisi' yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi 'Sindrom Takut Kalah' atau 'Atichyphobia- Fear of Failures', sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah dapat menjalani rawatannya.
Namun PAS juga ditanggapi menghadapi satu fenomena yang sama tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah 'Sindrom Takut Kejayaan - Fear of Success'.
PAS bukan takut dikalahkan tetapi lebih takut kejayaan akan mengakibatkan parti Islam kehilangan aAl-Asolahnya' atau 'Ketulenan keIslamannya' lantas curiga serta khawatir untuk menempuh 'jalan-jalan' yang ditanggapi bukan lebuhrayanya bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya dari cita-cita perjuangannya.
Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik Ulama-Profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar di pacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur.
PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar dari bahana sindrom ini.
Kesimpulan
Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak bertepatan dengan tuntutan waqi� dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya.
PAS sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus 'tag-line' - 'PAS Untuk Semua' dan 'Islam Untuk Semua' melalui program-program perjuangan yang lebih 'Inklusif' menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam.
Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan 'asnaf muallaf' termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Tegasnya, PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu 'fiqhiy' (legalistik) kepada paradigma pemikiran 'Usuliy dan Maqasidiy' (Prinsip dan Maksud) lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujjah tekunan ilmu Islam yang lebih 'daqiq' (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa.
Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua'malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri.
Inilah antara pengisian agenda "Penampilan Agenda Politik Islam PAS" dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini.
PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu 'eksklusif' dan 'centrik' yang meminggir rakyat dan pengundi dan dalam kedudukan yang tidak difahami kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya.
Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar yang mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan.
Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan!

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad (Penulis adalah AJK PAS Pusat). -Sumber Harakahdaily.net

Tazkirah Tuan guru Nik Abdul aziz

Lagu tema Pas

Tragedi 07hb.Mei,2009